Insiden pemain Selangor FC II, Haykal Danish Mohd Haizon didakwa dicemuh dengan kata-kata kesat oleh staf kejurulatihan Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) tular di media sosial.
Ini susulan hantaran Facebook yang dibuat bapanya, Mohd Haizon yang merasa kesal dengan tindakan individu berkenaan.
“Tapi yang tak sedap didengar adalah provokasi melampau seorang daripada barisan kejurulatihan mereka.
“Ya, provokasi pada setiap pemain kepada lawannya ketika permainan adalah biasa tapi ini cerita selepas habis perlawanan.
“Ketika bersalaman, patutkah seorang manusia yang lebih tua umurnya dan yang patut dihormati berkata serta berteriak (kata-kata kesat kepada Haykal Danish),” katanya.
Sebaik hantaran itu dimuat naik di Facebook, ramai peminat bukan saja menzahirkan rasa simpati kepada Haykal Danish.
Malah, ada seorang pengguna Facebook turut memuat naik video insiden berkenaan di ruang komen hantaran sama.
Insiden ini berlaku dalam aksi terbaru Liga A1 Semi-Pro antara kedua-dua pasukan itu di Stadium Sultan Muhammad IV pada 12 Januari lalu.
Perlawanan itu menyaksikan Kelantan RW meraih kemenangan tipis 1-0 menerusi gol minit akhir Emmanuel Mbarga.