Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Ahmad Hazwan Bakri menerima tamparan hebat apabila mengalami kecederaan Ligamen Krusiat Anterior (ACL) dan terpaksa melupakan separuh daripada saingan musim hadapan.
Perkara tersebut telah dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Fateen Shazwani dalam satu hantaran di laman X milik beliau sebentar tadi.
“Hazwan Bakri disahkan mengalami kecederaan ACL, dan terpaksa melupakan separuh musim yang pertama 2024,” coret Fateen di laman X.
Sebagai info, Hazwan merupakan salah seorang pemain JDT yang tidak disambung kontrak bersama-sama beberapa pemain lain seperti Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez, Diogo Luis Santo, Aidil Zafuan dan S. Kunanlan.
Hazwan menerima kecederaan ACL itu dalam aksi terakhir Liga Super 2023 di antara JDT dan Penang FC. Hazwan yang masuk sebagai pemain gantian hanya sempat beraksi 7 minit sebelum terpaksa dikeluarkan gara-gara kecederaan.
Pemain berusia 32 tahun itu hadir ke JDT pada musim 2016 selepas mengambil keputusan berhijrah dari Selangor. Namun begitu persaingan sengit di bahagian serangan JDT sedikit sebanyak menyekat aksi beliau di atas padang.
Musim ini menyaksikan khidmat Hazwan banyak digunakan untuk pasukan JDT II yang beraksi dalam saingan Piala MFL.
Secara keseluruhan, Hazwan diturunkan sebanyak 5 kali oleh pengendali JDT II, Mariano Echeverria dan berjaya meledak 2 gol.