Tiada angin tiada ribut, pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) didakwa memiliki dua orang pemain tambahan yang akan bersama skuad Harimau Malaya, Hector Hevel dan Haqimi Azim.
Pengumuman senarai pemain Harimau Malaya pada Khamis mencuri perhatian ramai apabila jurulatih, Peter Cklamovski memanggil seramai 38 nama untuk menyertai 3 fasa latihan kebangsaan.
Daripada 38 nama tersebut, seramai 14 pemain merupakan pemain dari kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) diketuai Matt Davies, Arif Aiman, Syihan Hazmi dan Fergus Tierney.
Menerusi senarai nama yang dikarang oleh pemerhati bola sepak Johor, Juan Budiman pula menceritakan sebaliknya apabila JDT sebenarnya diwakili 17 pemain ke kem latihan Harimau Malaya nanti.
3 pemain yang dikemas kini oleh Juan Budiman adalah Hector Hevel, Haqimi Azim dan juga Safawi Rasid yang sememangnya pulang ke JDT setelah berakhir tempoh pinjaman.
Keberadaan nama Hector Hevel ini jelas mengejutkan ramai peminat meskipun tonggak tengah Portimonense ini pernah menyatakan JDT adalah sebab utama beliau mewakili skuad Harimau Malaya.
“Mendapat peluang berada di JDT juga merupakan salah satu sebab mengapa saya bersetuju untuk bermain untuk negara saya, Malaysia,” tulis Hector Hevel sebelum ini.
Sementara nama Haqimi Azim pernah dikaitkan ke JDT pada musim akan datang setelah pemenang Pemain Muda Terbaik ABK 2024-2025 ini sudah pun mengucapkan selamat tinggal buat KL City.
Walau bagaimanapun, masih tiada sebarang pengumuman rasmi dari pihak kelab JDT berkenaan perkara ini meskipun jaguh dari selatan tanah air itu dilaporkan bakal merombak pasukan menjelang musim baharu nanti.