Advertisement
“Hougang United Kalah Kerana Pemain Sabah Berkualiti” – Zulfahmi Arifin
AFC Cup
MakanBola
Sabah FC

Kapten Hougang United, Zulfahmi Arifin mengakui kualiti dimiliki pemain Sabah FC membantu tuan rumah meraih kemenangan di Stadium Likas semalam.

Kelebihan ini dapat dilihat sepanjang perlawanan semalam. Sabah mendominasi pelawat dengan 27 percubaan, 13 daripadanya ke arah gol dengan tiga menemui sasaran.

Tiga gol tuan rumah disumbang oleh dua gol penyerang Harimau Malaya, Darren Lok dan bek tengah Gabriel Peres. Jika tidak kerana hujan lebat semalam, The Cheetahs pasti berdepan kesukaran menyekat Sabah daripada menambah gol.

Justeru, Zulfahmi bangga dengan usaha yang ditampilkan rakan-rakan sepasukannya bila menentang lawan berkualiti dari Malaysia itu.

“Saya fikir pasukan sudah berusaha bersungguh-sungguh. Di sebalik keadaan cuaca buruk dan pemain-pemain Sabah yang berkualiti, pujian (harus diberi) kepada mereka.

“Saya fikir mereka telah berusaha bersungguh-sungguh. Saya fikir sudah tiba masa untuk kita berehat dan segera kembali ke Singapura untuk Singapore Cup,” katanya dalam temubual selepas perlawanan semalam.

Kemenangan ini meletakkan skuad Badak di tempat kedua Kumpulan H di belakang kelab Vietnam, Hai Phong. Ini selepas kelab itu turut mencipta kemenangan ke atas kelab Liga 1 Indonesia, PSM Makassar semalam.

Hougang berharap dapat melupakan kekalahan ini bagi memberi tumpuan kepada Singapore Cup. Mereka akan turun menentang Balestier Khalsa dalam aksi pertama Kumpulan B pada 25 September ini.