Nama atlet menembak Turkiye, Yusuf Dikec menjadi bualan warga maya sejak beberapa hari lalu.
Turkey Sport melaporkan perkara ini berlaku kerana Dikec yang beraksi dalam final acara 10 meter (m) air pistol berpasukan campuran tampil dengan imej santai.
Penembak berusia 51 tahun itu bukan saja mengenakan baju kemeja biasa dan tanpa peralatan menembak yang tipikal di lapang sasar. Malah, Dikec kelihatan tenang semasa menembak dengan satu tangannya berada dalam poket.
Kebiasaannya, atlet menembak memakai penutup telinga dan cermin mata khas apabila beraksi di lapang sasar. Ini bertujuan membantu mereka fokus dan tidak terganggu bila melakukan tembakan.
Penampilan santai Dikec itu memukau ramai pengguna media sosial terutama di platform X. Ini termasuk jutawan dan pemilik X, Elon Musk.
Dikec yang bersaing dalam acara itu bersama Sevval Ilayda Tarhan terpaksa berpuas hati dengan pingat perak. Ini selepas gandingan Turkiye itu tewas kepada gandingan atlet penembak dari Serbia, Damir Mikec dan Zorana Arunovic.
Sementara gandingan Manu Bhaker dan Sarabjot Singh pula meraih pingat gangsa buat India.
Meskipun tewas di pentas final, penampilan santai Dikec memastikan penyertaannya dalam Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis terus diingati ramai peminat sukan antarabangsa.