Impian awal pemilik Buriram United, Newin Chidchob untuk menumbangkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi AFC Champions League Elite (ACLE) terkubur begitu sahaja.
Aksi tumpuan derbi Asia Tenggara antara Buriram United dan JDT akhirnya menjadi kenyataan di pusingan 16 terbaik ACLE dengan kedua-dua kelab mahu memburu tiket untuk mara ke suku akhir.
Sebelum perlawanan, Newin sempat melaungkan kata-kata semangat buat pemain Buriram agar memberi fokus penuh pada aksi berdepan JDT ini dengan mengelakkan kesilapan mudah.
“90 minit perlawanan yang penuh dengan strategi dan disiplin perlu dipatuhi, kesilapan harus dielakkan sebanyak mungkin,” kata Newin dalam satu kenyataan di Facebook Buriram United.
Malah, Newin turut memasang impian untuk melihat pasukan beliau mencatatkan kemenangan pada pertemuan itu untuk memudahkan perjalanan Buriram apabila beraksi di Stadium Sultan Ibrahim nanti.
“Yang paling penting, kemenangan perlu diraih kali ini untuk memberi keyakinan sebelum bertandang ke Malaysia minggu depan agar kita boleh mengawal perlawanan.”
Walau bagaimanapun, hasrat Newin itu terpaksa dilupakan apabila Buriram serta JDT terikat seri tanpa jaringan dalam aksi penuh sengit pada Selasa di hadapan ribuan peminat tuan rumah.
Buriram dilihat menguasai permainan dengan siri percubaan oleh Guilherme Bissoli dan Suphanat Muenta namun benteng JDT cukup ampuh untuk memadam hasrat kelab Thailand itu meraih bekalan selesa.
Perlawanan timbal balik bakal berlangsung pada 11 Mac ini di Stadium Sultan Ibrahim dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 8 malam.