Impian Selangor Untuk Melihat Kelibat Brendan Gan Tidak Kesampaian

Brendan Twitter brendangan Impian Selangor Untuk Melihat Kelibat Brendan Gan Tidak Kesampaian
@brendan_gan
Ikuti Telegram MakanBola (3712)

Impian Selangor FC untuk melihat kelibat Brendan Gan tidak kesampaian kerana beliau masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan semasa pra musim lalu.

Ketua jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner yang mengesahkan perkara itu menyatakan bagaimanapun ada berita baik untuk Selangor iaitu pemain tengah, Halim Saari yang mengalami kecederaan ‘anterior cruciate ligament’ (ACL) sebelum ini telah pulih sepenuhnya.

“Brendan Gan masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan semasa pra musim lalu. Dinesh pula masih dalam pemulihan kecederaan ACL yang dialami musim lalu.”

“Berita baik untuk semua termasuk barisan jurulatih Selangor FC, Halim sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan ACL dan dia sudah pun kembali menyertai latihan bersama rakan sepasukan sejak minggu lalu lagi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan pada bulan yang mencabar ini perlu ada sesuatu perubahan untuk menghadapinya kerana beliau akui masih tidak biasa lagi dengan situasi ini.

Michael bersyukur kerana ada dua jurulatih tempatan yang mempunyai pengalaman untuk mengendalikan latihan dan saingan sepanjang bulan puasa ini terutamanya kepada pemain Muslim.

“Ada beberapa perubahan perlu dilakukan bagi menghadapi bulan Ramadan ini. Sepanjang saya berada di sini, bulan ini sentiasa menjadi cabaran besar kerana saya masih tidak biasa dengan keadaan ini.”

“Tetapi saya bersyukur dengan adanya Nidzam dan Arulchelvan Illenggo, dua jurulatih tempatan yang mempunyai pengalaman mengendalikan latihan dan perlawanan pada bulan puasa terutamanya untuk pemain Muslim.”

“Kami (jurulatih) membincangkan apa yang terbaik untuk pasukan dan kami akan melakukan yang terbaik sepanjang bulan ini bagi menjalani sesi latihan serta perlawanan yang ada,” katanya kepada Berita Harian.

Selangor FC telah dijadualkan menentang Negeri Sembilan FC untuk aksi Liga Super 2022 pada malam ini jam 10.00 pm.