Semalam, heboh di laman media sosial apabila Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) mengumumkan bakal mengadakan perlawanan persahabatan dengan sebuah pasukan Asia Tenggara. Walaupun identiti pasukan itu tidak didedahkan, ramai penyokong Indonesia percaya Tim Garuda ialah lawan yang dimaksudkan AFA.
Sebelum ini, Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) telah mengumumkan Palestin sebagai lawan anak-anak buah Shin Tae-yong untuk kalendar perlawanan antarabangsa yang seterusnya pada Jun. Bagaimanapun, PSSI tidak mendedahkan siapa lawan kedua Merah Putih.
Tetapi ramai percaya perlawanan menentang Argentina bakal menjadi realiti berdasarkan kenyataan Wakil Ketua PSSI, Zainudin Amali. “Pak Ketua PSSI (Erick Thohir) berkomunikasi kepada beberapa persatuan. Beliau menyampaikan bahawa pada FIFA Matchday Jun 2023, Timnas Indonesia akan melawan Palestin.
“Lalu yang sedang diusahakan ialah Argentina pada FIFA Matchday Jun 2023. Namun, ini masih dalam perancangan. Nanti tunggu Pak Erick Thohir deh. Kemudian juga bersama Arab Saudi dan Jepun. Soal Jepun, mereka berkomitmen untuk membantu kita. Itu luar biasa,” katanya.
Di sebalik keyakinan yang dilaungkan PSSI terhadap usaha mereka itu, ramai ingin tahu pasukan mana yang akan dihantar Argentina jika menentang Indonesia. Ini kerana AFA boleh saja menghantar skuad bawah 23 tahun untuk menguji kemampuan mereka dan menyimpan bintang-bintang seperti Lionel Messi untuk perlawanan yang lebih berprestij.
Yang pasti, jika perlawanan ini benar-benar direalisasikan, ramai bimbang anak-anak buah Tae-yong menjadi pasukan belasahan Albiceleste.
Justeru, ada yang berharap untuk perlawanan seterusnya, fokus PSSI ialah menambah mata ranking FIFA dengan mengatur perlawanan dengan pasukan-pasukan yang menduduki ranking ke-90 ke atas – bukan lawan yang jauh lebih handal seperti Argentina.