Jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia kempunan membawa cabaran negara di peringkat separuh akhir Indonesia Open 2024.
Ini selepas bekas juara All England 2021 itu tewas kepada juara dunia perseorangan lelaki 2023 dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn di peringkat suku akhir.
Selepas dipaksa bekerja keras menentang wakil China, Weng Hong Yang semalam, Zii Jia kini perlu melepasi cabaran naib juara French Open 2024 itu.
Dari segi kelebihan ranking dunia, kelebihan memihak kepada Zii Jia selaku pemain nombor tujuh dunia berbanding Kunlavut (pemain nombor lapan dunia). Begitu juga dari segi rekod pertemuan lepas yang memihak bekas juara Arctic Open 2023 itu.
Kali terakhir Zii Jia dan Kunlavut berentap ialah saingan suku akhir Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China. Juara Thailand Open 2024 itu terpaksa bekerja keras sebelum berjaya menewaskan pemain berusia 23 tahun itu dengan keputusan 21-10, 19-21, 21-6.
Set pertama menyaksikan Zii Jia memanfaatkan beberapa kesilapan yang dilakukan Kunlavut untuk mendahului pada kedudukan 11-7. Jaguh Thailand itu kemudiannya memastikan kedua-duanya terikat pada kedudukan 14-14.
Ini memberi keyakinan kepada bekas juara Thailand Open 2023 itu untuk mendahului sebelum menang dengan keputusan 21-16.
Set kedua menyaksikan Zii Jia cuba bangkit. Pada satu ketika, pemain perseorangan lelaki nombor satu negara itu mendahului pada kedudukan 11-9.
Seperti yang berlaku pada set kedua, Kunlavut kembali bangkit mengejar dan mengikat kedudukan 14-14. Meskipun bergelut dengan masalah kecederaan, jaguh Thailand itu memastikan kemenangan miliknya dengan keputusan 21-17.
Kunlavut bakal bertemu sama ada jaguh Denmark, Anders Antonsen atau wakil India, Lakhsya Sen di peringkat separuh akhir.