Advertisements
“Ini Antara Skuad Terbaik Hong Kong” – Jørn Andersen
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Ketua jurulatih Hong Kong, Jørn Andersen mengakui kali ini membariskan skuad terbaik mereka bagi menghadapi cabaran Malaysia di Stadiuk Sultan Ibrahim esok.

Pengendali kelahiran Norway itu sudah tentu mahu menebus kekecewaan selepas pasukan itu tewas 2-0 pada pertemuan terakhir tahun lalu.

Beliau memberi alasan bahawa pada ketika itu skuad Hong Kong tidak dibarisi oleh para pemain bintang yang berkelana di China sekaligus menjejaskan rentak pasukan.

Jurulatih berusia 60 tahun itu bagaimanapun optimis dapat memberi saingan terbaik buat anak didik Kim Pan-gon.

“Sejujurnya, ini bukan skuad yang terkuat (tetapi) salah satu skuad yang terbaik. Anda tahu kali terakhir kami berada di sini, semasa era Covid, kami tidak boleh memanggil pemain-pemain yang berpangkalan di China.”

“Kami boleh panggil tetapi tidak semua berada di sini. Kami ada pemain yang tidak dapat datang dan ada juga pemain yang cedera masih di Hong Kong yang tidak dapat bersama kami. Tapi kami sudah ada di sini dan mempunyai skuad yang baik.”

Malah, beliau juga menjadikan pertemuan dengan Singapura sebagai kayu ukur untuk membuat persiapan bertemu Harimau Malaya esok.

“Dalam perlawanan terakhir, kami menunjukkan permainan baik menentang Singapura. Kami mendominasi permainan, kami mencipta banyak peluang tetapi saya tidak berpuas hati dengan keputusan. Ia boleh saja jadi lebih baik.”

“Tetapi itu satu perlawanan persahabatan, kami mencuba beberapa pemain baru dan saya dapat menilai keupayaan pemain-pemain baru bila mereka bermain,” jelasnya.

Malaysia sudah tentu memburu kemenangan penting dan mahu memanfaatkan aksi di laman sendiri untuk meraih keputusan positif.