Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM TMJ mempunyai pandangan tersendiri mengenai perjalanan pasukannya dalam kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim ini.
Undian yang dijalankan pada 24 Ogos menyaksikan Harimau Selatan berjaya mengulangi aksi yang ditempuhi tahun lalu apabila diundi dalam satu kumpulan bersama jaguh Korea, Ulsan Hyundai dan gergasi Jepun, Kawasaki Frontale.
Malah, JDT juga berdepan cabaran sengit apabila berdepan sebuah lagi pasukan terbaik di Asia Tenggara iaitu BG Pathum.
Mengulas lanjut, DYAM TMJ merasakan bahawa keputusan undian ini agak mencabar buat pasukan JDT.
Baginda juga berpendapat bahawa pasukan tetangga di rantau ini seperti wakil Singapura, Lion City dan juga juara Liga 1 Thailand, Buriram United berdepan laluan mudah.
“Tough group. Lion dan Buriram dalam kumpulan senang. Tetapi tiada masalah, kita akan lawan macam setiap tahun.”
Baginda juga yakin JDT tidak akan menyerah sungguhpun berada dalam kumpulan yang amat mencabar.
“Tidak akan menyerah. Demi Johor, JDT akan melakukan yang terbaik,” ujar TMJ.
Pada ACL musim 2022, JDT melakar kejutan apabila muncul juara Kumpulan G di hadapan kelab Ulsan Hyundai, Kawasaki Frontale dan Guangzhou FC sekaligus layak ke peringkat 16 terbaik sebelum tewas 0-5 kepada juara AFC Champions League tahun lalu, Urawa Reds.
Kejohanan berprestij ini akan bermula pada September 2023 hingga Mei 2024.