Bek tengah Selangor FC, Safuwan Baharudin melihat MFL Challenge Cup sebagai peluang buat pasukan itu mengakhiri kemarau kejuaraan buat kali pertama sejak 2015.
Selangor memiliki kelebihan satu gol selepas menewaskan Penang FC 1-0 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Bandaraya baru-baru ini.
Gol sendiri ketua pasukan Harimau Kumbang, Rafael Vitor membantu Merah Kuning memiliki kelebihan tipis menjelang aksi timbal balik di Stadium MBPJ.
Safuwan mengakui kelebihan satu gol itu belum meletakkan Selangor dalam kedudukan selesa untuk memburu slot ke final.
Pada masa sama, bek tengah Singapura itu percaya ini peluang terbaik pasukan itu memburu kejuaraan pertama pasukan sejak 2015.
“Harapan saya sememangnya begitu besar untuk ke perlawanan akhir. Ini adalah satu piala yang tinggal untuk kami dan secara realistiknya, ini peluang terbaik kami untuk melangkah ke final.
“Meskipun orang luar memperkatakan MFL Challenge Cup ini berbeza dengan Unifi Piala Malaysia, namun bagi saya, kita tetap akan pastikan yang kami dapat membuktikan sesuatu kemenangan,” katanya.
Kali terakhir Selangor meraih trofi ialah 2015 menerusi Piala Malaysia. Merah Kuning yang ketika itu dibimbing Mehmet Durakovic menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 2-0.
Selangor kini mengalihkan fokus menentang Penang untuk aksi Liga Super pada 25 Januari ini. Ini disusuli aksi timbal balik MFL Challenge Cup pada 2 Februari.