Malaysian Football League (MFL) akhirnya mengesahkan senarai rasmi 12 kelab yang akan beraksi dalam saingan Liga Super bagi musim 2026-2027.
Pengesahan itu dibuat selepas PDRM FC mengambil keputusan untuk menarik diri daripada saingan musim baharu sekali gus membuka ruang kepada Kelantan Red Warrior FC untuk mengisi kekosongan tersebut.
Menurut MFL, Kelantan Red Warrior FC dipilih selepas memenuhi semua kriteria kewangan yang ditetapkan bagi membolehkan mereka dipromosikan ke Liga Super.
Kelab yang menamatkan saingan Liga A1 Semi-Pro di tangga keempat musim lalu itu turut dilihat lebih bersedia berbanding UM Damansara United FC dan Bunga Raya FC yang turut mengemukakan permohonan selepas memperoleh Lesen Kebangsaan Luar Biasa daripada FIB.
Dalam masa sama, Armed Forces FC yang turut beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro tidak mengemukakan permohonan untuk menyertai Liga Super musim 2026-2027.
PDRM FC pula memaklumkan penarikan diri mereka dibuat menerusi surat rasmi kepada MFL dengan memberi tumpuan terhadap proses penstrukturan semula pengurusan kelab.
Dengan kemasukan Kelantan Red Warrior FC, saingan Liga Super musim 2026-2027 kini lengkap membabitkan 12 pasukan.
Berikut adalah senarai rasmi 12 kelab Liga Super musim 2026-2027:
- Johor Darul Ta’zim (JDT)
- Selangor FC
- Kuching City FC
- Kuala Lumpur City FC
- Terengganu FC
- Star City FC
- Negeri Sembilan FC
- Penang FC
- Sabah FC
- DPMM FC
- Melaka FC
- Kelantan Red Warrior FC
Saingan Liga Super musim 2026-2027 dijangka sekali lagi menyajikan persaingan sengit dengan kehadiran wajah baharu Kelantan Red Warrior FC yang bakal membuat penampilan sulung dalam liga utama bola sepak Malaysia.