Kemenangan skuad Harimau Malaya dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 berdepan Kyrgyzstan malam semalam disulami dengan detik kebangkitan. Selepas ketinggalan 3-1 pada awal babak kedua permainan, Malaysia berjaya bangkit apabila mencatat kemenangan bergaya 4-3 mengatasi Kyrgyzstan.
Ketika sesi sidang media selepas perlawanan, pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon berkongsi sedikit sebanyak apa yang dikatakannya kepada pemain ketika di bilik persalinan Harimau Malaya.
Kim Pan-gon menjelaskan bahawa beliau memberi teguran serta nasihat kepada pemain agar kembali bangkit dan tidak ambil mudah ketika di dalam padang.
“Kami mengharapkan sesuatu apabila kita berjaya meledak awal tapi selepas kita ketinggalan apa yang boleh kita harapkan lagi. Jadi saya kata kepada pemain, saya tinggalkan kepada anda semua. Ini perlawanan anda, ini keinginan anda. Ini negara anda maka pergi berjuang untuk negara anda.
Pengendali dari Korea Selatan ini juga menyatakan bahawa dirinya hanyalah sebagai pendorong kepada pasukan kerana yang akan bermain dan berjuang di atas padang ialah para pemain.
“Saya disini hanya memberi motivasi, saya cipta sebuah persekitaran yang baik buat kamu semua, persiapkan latihan yang bagus, sediakan fasiliti, sediakan informasi. Ini sahaja yang saya mampu, kerana akhirnya ia bergantung kepada kamu semua.”
“Ini semua tentang pemain, malam ini mereka yang cipta aksi seperti ini. Saya harap ia takkan terjadi lagi,” seloroh Kim Pan-gon.
Malaysia dijadual berdepan Taiwan pada 21 November kelak di laman lawan. Kemenangan berdepan Kyrgysztan malam semalam sudah pasti bakal menjadi pembakar semangat buat anak buah Kim Pan-gon dalam misi untuk layak ke peringkat seterusnya dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027.