Skuad Malayan Tigress memanggil 27 pemain diketuai oleh tonggak berpengalaman, Intan Serah dan Steffi Sarge Kaur untuk persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia Wanita.
Menerusi pengumuman oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), ketua jurulatih pasukan Malayan Tigress yang baharu, Joel Cornelli telah memanggil seramai 27 orang pemain bagi menyertai fasa pertama kem latihan pusat.
Kesemua 27 pemain ini akan berkumpul pada bermula Rabu, 21 Mei hadapan sebagai persiapan pasukan menghadapi siri perlawanan antarabangsa Tier 1 Tri Nation yang diadakan di Thimphu, Bhutan.
Daripada senarai 27 pemain yang dipanggil, tumpuan pasti terarah kepada nama tonggak senior iaitu Steffi Sarge Kaur dan Intan Serah yang turut bakal menyertai kem latihan fasa pertama ini.
Selain itu, dua orang pemain yang beraksi di luar negara iaitu penjaga gol KFF Vllaznia, Azurin Mazlan serta bintang muda Miami Shades Dades Sharks di Amerika juga bakal bersama Malayan Tigress.
Kem latihan pusat dan juga siri perlawanan antarabangsa ini adalah sebahagian daripada persiapan menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 yang bakal berlangsung pada 23 Jun hingga 5 Julai 2025 di Dushanbe, Tajikistan.