Pertahanan tengah Kuala Lumpur City FC, Irfan Zakaria menyatakan bahawa sudah persiapkan diri jika diberi peluang dalam perlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada Sabtu ini.
Pemain yang berusia 27 tahun itu mengakui masih tiada keyakinan untuk kembali beraksi selepas diketepikan khidmatnya dalam perlawanan sejak kempen TM Piala Malaysia musim lalu.
Namun, perkara itu bukan penghalang baginya sebaliknya beliau terus bersemangat untuk berusaha membina kembali momentum diri dengan lebih baik bagi merebut kesebelasan utama dalam pasukan.
“Alhamdulillah sekarang saya sudah boleh bermain tetapi semuanya terpulang kepada jurulatih (Bojan Hodak) sama ada beliau mahu saya berada kesebelasan utama atau di bangku simpanan terlebih dahulu untuk lawan JDT nanti,” katanya.
“Cuma kalau dalam latihan, saya masih ada rasa takut-takut lagi nak berikan sepenuhnya, tetapi saya tetap berusaha untuk dapatkan balik keyakinan dan momentum supaya dapat kembali seperti sebelum ini atau mungkin lebih baik.”
“Sewaktu saya selesai jalani pembedahan, saya memang letak sasaran untuk pulih sebelum liga bermula dan minggu lepas pun saya diberi peluang untuk bermain dalam kesebelasan utama ketika lawan Negeri Sembilan,” ujarnya.
Sementara itu, Irfan berharap jika diturunkan dalam saingan tersebut, beliau pasti akan menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam padang.
“Jadi, kali ini sekiranya ada rezeki untuk diturunkan dalam perlawanan Sumbangsih, InsyaAllah saya akan melakukan yang terbaik”, jelasnya kepada MFL.
Sebelum ini, Irfan telah mengalami kecederaan yang menimpanya apabila terpaksa berehat 3 bulan akibat urat dibahagian buku lalinya yang putus.