Ismaheel Akinade Pamer Taring Hatrik Bersama Terengganu
Persahabatan
Terengganu FC
Advertisements

Penyerang import Terengganu FC, Ismaheel Akinade mula mencuri tumpuan peminat setelah meledak hatrik bagi membantu pasukannya membenam PDRM pada Selasa.

Perlawanan persahabatan yang diadakan di Stadium Selayang itu menyaksikan anak-anak buah Tomislav Steinbruckner menampilkan aksi cemerlang untuk membelasah juara MFL Challenge Cup 2023 itu dengan keputusan 6-1.

Ismaheel Akinade yang menyertai Terengganu daripada Kelantan United pada pertengahan Februari yang lalu muncul wira buat skuad Penyu apabila menjaringkan tiga gol pada minit kelapan, minit ke-43 dan minit ke-56.

Advertisements

Gol pertama beliau dihasilkan menerusi sepakan penalti manakala gol kedua terhasil menerusi sepakan penjuru yang ditanduk cantik oleh penyerang berusia 30 tahun ini dan gol ketiga disudahkan melalui situasi satu lawan satu bersama penjaga gol lawan.

Baki tiga gol lagi dijaringkan oleh Manuel Ott, Nurillo Tukhtasinov dan pemain tempatan Engku Shakir untuk melengkapkan kemenangan bergaya buat naib juara Piala Malaysia 2023 itu.

Gol tunggal buat PDRM FC pula disumbangkan oleh pertahanan import baharu mereka, Friday Faith Obilor ketika permainan berbaki enam minit lagi untuk dimainkan.

Advertisements

Tiga gol yang dijaringkan oleh penyerang kelahiran Nigeria ini pastinya bakal menjadikan persaingan di posisi penyerang bertambah sengit bersama seorang lagi penyerang import, Ivan Mamut.

Kemenangan besar ini juga merupakan penyuntik semangat baharu buat jaguh Pantai Timur ini setelah mengalami kekalahan mengejut 1-2 di tangan Selangor II pada Ahad yang lalu.

Lawan seterusnya buat Terengganu dalam kempen pra-musim mereka adalah Negeri Sembilan dengan perlawanan dijadualkan berlangsung di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi pada 4 April hadapan.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram