Inisiatif koperasi penyokong yang digerakkan kelab Liga M5, Kerteh FC mendapat sokongan bekas tonggak import Terengganu FC, Issey Nakajima-Farran.
Ini selepas pengurusan Kerteh mengumumkan berita tersebut di platform media sosial rasmi pasukan itu.
“Kami dengan bangga mengumumkan bahawa Issey Nakajima, bekas pemain bola sepak Terengganu dan Pahang, kini menjadi salah seorang ahli Koperasi Penyokong Kelab Bola Sepak Kerteh Berhad (KPKBKB)!
“Langkah ini menunjukkan sokongan Issey terhadap misi kami dalam memperkasakan bola sepak komuniti dan Kerteh FC. Anda juga boleh menjadi sebahagian daripada keluarga ini!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Kerteh menjadi kelab pertama di Malaysia yang menubuhkan koperasi penyokong pada awal tahun 2024. Penubuhan koperasi ini bertujuan berkongsi manfaat yang dimiliki kelab itu bukan saja dengan penyokong tetapi juga komuniti sekitar Kerteh.
KPKBKB turut memiliki perancangan untuk meraih pegangan saham sebanyak 12% dalam Kerteh menjelang tahun 2025. Ini akan membuka jalan kepada mereka menjadi pemegang saham majoriti kelab menjelang tahun 2027.
Bekas pemain sayap Kanada itu menyifatkan idea KPKBKB sebagai idea bernas kerana ini akan membawa kepada penyokong sebagai pemilik kelab. Ini menyaksikan Kerteh mengikut jejak beberapa kelab gergasi dunia seperti Barcelona dan Real Madrid yang dimiliki sepenuhnya oleh penyokong.
“Sebagai bekas pemain untuk dua kelab besar di Malaysia, kecintaan saya terhadap dua negeri ini (Terengganu dan Pahang) memberi inspirasi kepada saya untuk menyokong inisiatif ini.
“Lokasi Kerteh di Pantai Timur yang indah antara kedua-dua negeri ini menjadikannya kelab yang ideal untuk menyatukan peminat dan membentuk era baru dalam bola sepak Malaysia,” katanya.
Selain Terengganu, Nakajima-Farran pernah beraksi untuk Pahang (kini Sri Pahang FC), Brisbane Roar, Albirex Niigata Singapore, CF Montreal dan Toronto FC.