Tidak lama dahulu, seorang jurulatih renang untuk atlet renang para disiasat pihak berkuasa atas dakwaan salah laku seksual.
Susulan itu, jurulatih tersebut digantung sementara siasatan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jawatankuasa Salah Laku dan Perlindungan Dalam Sukan (JSPS) Majlis Sukan Negara (MSN).
Hari ini, MSN mengumumkan kes tersebut diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (No Further Action/NFA). Keputusan ini dibuat selepas mendapati tiada bukti atau saksi yang menyokong dakwaan tersebut.
Lantas, jurulatih tersebut kini dibenarkan kembali bertugas bagi membantu persiapan atlet renang para menghadapi temasya Paralimpik 2024 di Paris, Perancis.
“MSN menerusi Jawatankuasa Salah Laku dan Perlindungan Dalam Sukan (JSPS), juga telah menjalankan siasatan teliti, termasuklah menemubual pelbagai pihak yang berkaitan.
“Hasil penelitian hasil siasatan, MSN menerusi cadangan yang diberikan JSPS, juga mendapati tiada sebarang asas atau saksi untuk menyokong dakwaan salah laku berkenaan.
“Sehubungan itu, MSN memutuskan supaya jurulatih berkenaan diberikan semula tanggungjawab melatih perenang-perenang para negara yang sedang bersiap untuk temasya Sukan Paralimpik Paris dalam tempoh terdekat ini,” kata MSN dalam satu kenyataan.
MSN turut memaklumkan mereka akan sentiasa mengambil berat aspek kebajikan atlet dan sedia mengambil tindakan bagi melindungi hak mereka.