Selepas membawa masuk Fadhli Shas dan Azrif Nasrulhaq, kini fokus Sri Pahang ialah membawa masuk penjaga gol utama yang baru. Dan itu dicapai menerusi perpindahan secara pinjaman bekas penjaga gol pasukan kebangsaan, Izham Tarmizi Roslan dari JDT.
Perpindahan Izham Tarmizi diumumkan serentak dengan perpindahan Azrif di laman media sosial Sri Pahang hari ini.
Kehadiran bekas penjaga gol skuad Harimau Muda ini diharap dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain import tinggi lampai Mamadou Samassa. Musim 2022 menyaksikan Samassa menjadi penjaga gol utama skuad Sri Pahang.
Bagaimanapun, khidmat bekas penjaga gol Troyes itu tidak dikekalkan skuad Tok Gajah musim hadapan. Selain Samassa, khidmat penyerang import Steven ‘Titi’ Rodriguez juga tidak dikekalkan walaupun menjaringkan 12 gol dalam 17 perlawanan.
Walaupun menjulang banyak kejuaraan bersama JDT, beberapa musim kebelakangan ini menyaksikan Izham Tarmizi banyak berada di bangku simpanan. Justeru, menerusi perpindahan pinjaman Sri Pahang ini, ia diharap dapat memberi nafas baru pada karier permainan bekas penjaga gol Harimau Muda itu.