Pasangan beregu lelaki negara, Nur Izzuddin-Sze Fei terus mengorak langkah dalam kedudukan ranking dunia apabila berjaya memintas jaguh dari Jepun.
Setelah mencipta kejayaan muncul juara di China Open, Nur Izzuddin-Sze Fei berjaya melonjakkan kedudukan mereka dalam kemas kini ranking oleh Badminton World Federation (BWF).
Izzuddin-Sze Fei yang sebelum ini berada di ranking ke-12 dunia mempamerkan aksi menakjubkan bagi mengecewakan pasangan tuan rumah di final dengan keputusan 13-21, 21-12, 21-17.
Kemenangan tersebut menyaksikan Izzuddin-Sze Fei berjaya membawa pulang hadiah kemenangan bernilai USD148,000 atau RM497,889.00 serta 13,500 mata ranking.
Dengan tambahan mata ranking itu, kedudukan pasangan negara kini melonjak sebanyak empat anak tangga untuk berada di ranking ke-8 dunia yang juga pencapaian terbaik mereka.
Peningkatan mendadak ini menyaksikan Izzuddin-Sze Fei berjaya memintas tiga beregu utama dari Asia antaranya bekas juara dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun.
Dua lagi beregu yang ditinggalkan oleh pasangan negara ini adalah juara Olimpik dua kali, Lee Yang-Wang Chi Lin yang sudah berpisah selain Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan juga dari Chinese Taipei.
Manakala, satu lagi beregu harapan Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kekal di tangga kelima dan dijangka bakal kembali beraksi di gelanggang pada Arctic Open bermula 8 Oktober ini.
Arctic Open 2024 menyaksikan Izzuddin-Sze Fei bakal memulakan cabaran berdepan wakil Denmark manakala Aaron-Wooi Yik akan menanti ujian dari pasangan China di pusingan awal.