Advertisement
Izzuddin & Sze Fei Raih Habuan Lumayan Cecah RM1 Juta
UltraSukan
UltraSukan
Victor Malaysia

Pasangan beregu lelaki negara, Nur Izzuddin-Goh Sze Fei menerima habuan mencecah RM1 juta hasil pencapaian cemerlang dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

Musim 2024 menyaksikan Izzuddin-Sze Fei mengharungi perjalanan yang cukup manis dengan tiga gelaran juara yang berjaya dirangkul setakat ini dalam tempoh tiga bulan.

Segalanya bermula selepas tamat kempen di Olimpik Paris apabila pasangan negara ini dikhabarkan bakal meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergerak secara profesional.

Sebelum meninggalkan badan induk itu, Izzuddin-Sze Fei turun beraksi di Japan Open dan berhasil membawa pulang gelaran juara dan hadiah wang tunai bernilai USD62,900.

Kecemerlangan itu diteruskan lagi oleh beregu negara ini apabila beraksi cukup cemerlang untuk bergelar juara di China Open dan meraih USD148,000 selaku pemenang.

Dua minggu lalu, Izzuddin-Sze Fei sekali lagi melakar magis yang tersendiri setelah berjaya menewaskan pasangan kedua dunia dari Denmark di final bagi memenangi Arctic Open.

Gelaran juara ketiga yang diraih di Finland itu menyaksikan Izzuddin dan juga Sze Fei berjaya memastikan hadiah wang tunai bernilai USD33,180 berada dalam genggaman mereka.

Secara keseluruhan, Izzuddin-Sze Fei telah mengaut hadiah wang kemenangan berjumlah USD244,080 (RM1,048,920) dalam tiga kejohanan yang dimenangi baru-baru ini.