Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin-Goh Sze Fei dilaporkan bakal meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Izzuddin-Sze Fei yang kini berada di ranking ke-13 dunia kembali bergandingan semula pada pertengahan tahun lalu setelah berpisah seketika sekitar Januari 2023.
Terkini, menurut wartawan sukan TV3, Syakirah Zulkifly, pengarah teknikal BAM, Rexy Mainaky memberi bayangan bahawa pasangan ini bakal membawa haluan baharu tidak lama lagi.
“Difahamkan, Sze Fei-Nur Izzuddin akan menjadi pemain terbaharu yg bakal meninggalkan skuad kebangsaan, hujung bulan ini dan akan meneruskan karier sebagai gandingan profesional.”
“Rexy tidak menafikan perkara itu, malah pengesahan mungkin akan diumumkan dalam satu sidang media esok,” tulis Syakirah di laman X.
Sekiranya benar, Izzuddin-Sze Fei bakal mengikuti jejak langkah beberapa pemain lain seperti Lee Zii Jia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang membawa haluan baharu.
Pencapaian terbaik dicapai pasangan ini pada musim 2023 adalah bergelar naib juara di Ningbo Badminton Asia Championship 2024 setelah tewas kepada beregu nombor satu dari China.