Beregu lelaki Malaysia, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani ceria apabila meraih gelaran juara Japan Open 2024.
Kejayaan itu digapai beregu nombor 12 dunia itu dengan menewaskan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae.
Dari segi rekod pertemuan, kelebihan memihak kepada Min-hyuk dan Seung-jae. Ini kerana juara India Open 2024 itu memenangi kesemua tiga perlawanan antara kedua-dua regu.
Kali terakhir Sze Fei-Izzuddin berentap dengan wakil Korea Selatan itu ialah Badminton Asia Team Championship (BATC) 2024. Min-hyuk-Seung-jae sukar dicabar beregu negara sebelum menang dengan keputusan 21-13, 21-18.
Set pertama menyaksikan kedua-dua beregu saling bersaing mendapatkan mata. Pada satu ketika, kedua-duanya terikat pada kedudukan 15-15.
Beberapa kesilapan yang dilakukan Min-hyuk-Seung-jae membuka ruang kepada kemenangan Sze Fei-Izzuddin dengan keputusan 21-19.
Set kedua menyaksikan juara Abu Dhabi Masters itu meraih kelebihan selesa pada kedudukan 11-8. Ini susulan beberapa pukulan yang dilakukan Min-hyuk-Seung-jae kerap terkena jaring.
Kelebihan itu terus dilebarkan Sze Fei-Izzuddin sebelum meraih kemenangan dengan keputusan. Ini kali pertama beregu negara meraih gelaran juara Japan Open untuk acara beregu lelaki sejak Chan Chong Ming dan Chew Choon Eng pada 2002.
Sze Fei-Izzuddin membawa pulang hadiah kemenangan bernilai AS$62,900 (RM275,000). Sementara Min-hyuk-Seung-jae terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara dengan hadiah kemenangan bernilai AS$29,750 (RM130,000).
Ini juga kali terakhir Sze Fei-Izzuddin beraksi di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Ini selepas badan induk itu mengumumkan beregu nombor 12 dunia itu akan bergelar pemain profesional berkuatkuasa 1 September ini.