Jadual Padat Tak Gugat Selangor
MakanBola
Selangor FC

Jadual padat Liga Malaysia (Liga M) bukan penghalang buat Selangor FC meneruskan rentak kemenangan dalam musim 2026/27 setakat ini.

Terbaru, The Red Giants yang dibimbing Kim Pan-gon menewaskan musuh setempat, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 3-0 dalam aksi Liga Super pada 13 September lalu.

Gol A. Selvan, Chrigor Moraes dan Eduardo Sosa memastikan penyokong Selangor di Stadium MBPJ ceria meraikan tiga mata penuh.

Pan-gon berpandangan meskipun anak buahnya penat mengharungi jadual padat Liga M, itu tidak menghalang Selangor menampilkan aksi terbaik di hadapan penyokong setia mereka.

“Ya, saya fikir apa yang pemain kita lakukan pada malam ini. Ia satu persembahan yang bagus, pemain memberikan persembahan yang bagus kepada penyokong kita yang hadir memberi sokongan (di Stadium MBPJ).

“Saya fikir kita sedikit lewat menjaringkan gol di mana itu sedikit mengecewakan tetapi kita cuba menjaringkan gol awal, mendominasi dan mengawal perlawanan. Saya hargai apa yang para pemain lakukan pada malam ini.

“Tempoh dua hingga tiga minggu terakhir, jadual sememangnya padat. Mereka seharusnya merasa letih tapi saya fikir semangat mereka melebihi situasi yang dihadapi mereka. Jadi, saya beri penghargaan kepada semua pemain atas apa yang mereka lakukan pada malam ini,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Selangor kini di tempat ketiga dengan 12 mata. Meskipun berkongsi mata sama dengan Kuching City FC, anak buah Aidil Sharin Sahak telah beraksi sebanyak lima perlawanan.

Selepas ini, Selangor mengalihkan fokus kepada aksi pertama suku akhir Piala FA menentang Star City FC pada 19 September ini.