Advertisement
Jamal Nasir: Jika Dapat Lawan Gergasi Asia, Baru Boleh Cerita Piala Dunia
Dunia
MakanBola
NSTP

Jurulatih baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon sebelum ini ada mensasarkan untuk ke Piala Dunia sebagai satu sasaran jangka panjang dan ianya dilihat tidak mustahil.

Selepas selesai Piala Dunia 2022 di Qatar, sembilan slot bakal diperuntukkan untuk benua Asia dalam Piala Dunia yang akan datang.

Tetapi bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail mempunyai pendapat berbeza mengenai sasaran tersebut yang dilihat masih jauh untuk dicapai. Beliau berharap skuad negara ‘tunjuk taring’ di peringkat Asia terlebih dahulu.

“Untuk layak ke Sukan Olimpik pun dah cukup susah, jadi sekarang kena fikir di (peringkat) Asia Tenggara pun (kita) tak lepas, nak cerita Piala Dunia, memang sasaran itu terlalu jauh buat masa ini.

“Dia (Pan-gon) orang luar dan baru datang ke sini, tentu dia nak kagumkan kita dengan matlamat atau visi dia. Itu tak salah, cuma bagi saya terlalu awal untuk kita bercerita tentang Piala Dunia.

“Berjaya atau tidak, kita tengok dalam tempoh dua tahun ini. Jika dapat ‘lawan’ gergasi Asia seperti Iran, Iraq, Korea Selatan mahupun Jepun, baru boleh cerita ke Piala Dunia,” katanya.

Jamal berkata Pan-gon perlu memperkemaskan pasukan negara terlebih dahulu sebelum kita mampu kembali menjadi pasukan yang digeruni di peringkat Asia.

“Apa yang saya katakan ini adalah mengikut fakta, bukan kerana tak suka. Saya memang suka kalau Pan-gon mampu bawa skuad kebangsaan kita ke Piala Dunia.

“Tetapi buat masa ini, biarlah kita bercakap dalam suasana bola sepak Malaysia. Masih banyak yang perlu diperkemas sebelum kita mampu kembali setanding gergasi Asia,” jelasnya kepada Sukan Sinar.