Lagenda sukan tanah air ada meninggalkan pesan buat atlet Malaysia agar jangan cemas dan fokus untuk meraih pingat emas di Sukan Olimpik.
Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 telah membuka tirai secara rasmi pada Jumaat lalu dan beberapa atlet negara sudah pun turun ke gelanggang bagi membawa cabaran Malaysia di pentas berprestij ini.
Atlet-atlet negara hadir ke kota Paris dengan misi besar bagi membawa pulang pingat emas sulung buat Malaysia dalam sejarah penyertaan di Sukan Olimpik.
Dengan misi dan tekanan yang besar ini, bekas pemain badminton Malaysia yang juga pemenang 3 pingat Perak di Olimpik, Datuk Wira Lee Chong Wei sempat menitipkan pesan buat para pejuang negara.
Menerusi satu hantaran di Facebook milik Datuk Wira Lee Chong Wei menyaksikan sekeping foto beliau berlatar belakangkan Menara Eiffel di Kota Paris yang dimuat naik pada Sabtu.
Meskipun hanya sekeping foto biasa, namun tanda pagar yang digunakan oleh Datuk Wira Lee Chong Wei telah menarik perhatian ramai yang berbunyi seakan pesanan buat para atlet Malaysia.
Tanda pagar ‘#jangancemasraihemas’ itu ditujukan khas buat kesemua 26 atlet Malaysia yang berjuang di Sukan Olimpik agar jangan cemas dan gemuruh, sebaliknya fokus dengan misi meraih pingat emas.
Beberapa atlet negara daripada sukan memanah, renang, menembak dan badminton telah turun dalam pusingan awal pada Sabtu dan dijangka lebih ramai lagi akan beraksi dalam tempoh terdekat.
Sukan Olimpik Paris 2024 berlangsung dari 27 Julai hingga 11 Ogos hadapan dengan kontinjen Malaysia meneruskan misi bagi membawa pulang pingat emas pertama dalam sejarah.