Ledakan penyerang Negeri Sembilan FC, Sean Eugene Selvaraj telah menarik perhatian FIFA tatkala jaringan cantik Sean telah tular di laman media sosial, Twitter semalam.
Pertembungan dramatik antara pasukan Selangor dan Negeri Sembilan yang berlangsung di Stadium Kelana Jaya dihiasi dengan dua jaringan awal oleh pasukan tuan rumah.
Bagaimanapun kebangkitan saat akhir yang ditampilkan anak buah K. Devan berkesudahan dengan kemenangan diraih Skuad Jang.
Jaringan Sean Selavraj pada babak akhir permainan telah meleburkan impian The Red Giant mencatat keputusan positif di laman sendiri.
Pada minit ke-88 permainan, percubaan berani daripada luar kotak penalti oleh Sean cantik meluru masuk ke gawang Selangor. Rembatan kencang tersebut sekaligus gagal diselamatkan penjaga gol Selangor, Sam Somerville.
Video jaringan Sean tersebut telah dimuatnaik FIFA di laman Twitter sebentar tadi dan menyatakan adakah gol itu layak dipilih sebagai pesaing jaringan “Puskas”.
Malah ramai yang mahu melihat gol terbabit dicalonkan dalam Anugerah Puskas Fifa yang dilihat berpeluang untuk muncul antara jaringan terbaik sepanjang musim ini.
Dalam video tersebut, FIFA turut berkata ini merupakan satu keajaiban dan pihaknya akan meletakkan gol-gol tersebut dalam pesaing Louvre.
Untuk rekod, pemain Malaysia pernah memenangi anugerah tersebut menerusi Faiz Subri pada 2016 yang lalu.