Jasa Besar Stuart Ramalingam Sentiasa Dikenang
MakanBola
MFL

Rakan kongsi Liga Malaysia (Liga M) tidak akan melupakan jasa bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam.

Stuart tidak lagi bersama MFL selepas beliau tidak menyambung kontraknya yang tamat pada 31 Ogos lalu.

Susulan itu, MFL mengumumkan bekas delegasi La Liga ke Malaysia, Giorgio Pompili Rossi sebagai CEO yang baru pada 5 September lalu.

Meskipun beliau tidak lagi bersama entiti pengelola liga negara itu, jasa Stuart terhadap pasukan-pasukan Liga Super tidak akan dilupakan.

Pengurus Besar Perak FC, Neow Choo Seong memaklumkan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu banyak membantu XOX Berhad semasa mengambil alih pasukan itu beberapa tahun lalu.

“Sebelum ini apabila XOX Berhad jadi pemilik kepada kelab Perak, sebagai kelab yang seperti dilahirkan semula, Datuk Stuart banyak membantu kami sebenarnya.

“Banyak memberi nasihat untuk memudahkan perjalanan kelab ini dan agak sedih apabila beliau sudah tidak lagi bersama MFL. Sudah tentu, kami semua akan merindui beliau dan Stuart menjadi rakan yang sangat baik kepada kami semua di kelab,” katanya.

Sentimen sama turut dikongsi CEO Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon. Johan menyifatkan Stuart banyak membantu pasukan-pasukan liga terutama dari segi komersial dan penjanaan hak penyiaran rasmi.

“Dari segi komersial dan kewangan kelab itu sendiri, saya boleh katakan Stuart beri impak positif untuk kita di kelab yang boleh menjana banyak pendapatan terutamanya daripada hak penyiaran.

“Kehadiran Astro selaku penyiar rasmi juga dapat memberikan dana yang konsisten kepada kelab di mana pemberian hak penyiaran itu begitu konsisten sejak Stuart hadir ke MFL.

“Apa pun, satu kehilangan yang cukup besar kepada industri bola sepak dan saya nak ucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” ujarnya.

Stuart memulakan tugas sebagai CEO MFL pada tahun 2021 dan berkhidmat bersama badan berkenaan selama tiga tahun.