JDT dan Kelantan mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir Piala Malaysia selepas mengenepikan lawan masing-masing dalam perlawanan kedua pusingan ke-16.
JDT terlebih dahulu mara selepas menewaskan PJ City 2-0 dalam perlawanan kedua pusingan ke-16.
Selesa dengan bekalan kemenangan 4-0 pada perlawanan pertama, JDT mendahului seawal minit keempat menerusi sepakan jarak jauh Bergson da Silva.
JDT cuba menambah jaringan tetapi PJCFC kental bertahan bagi memastikan jurang agregat 5-0 tidak bertambah.
Selepas rehat, Harimau Selatan terus mengasak kubu PJ City bagi melebarkan lagi jurang agregat mereka.
Hasilnya, Fernando Forestieri menyungkit bola mengatasi penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi untuk gol kedua pada minit ke-72.
Sementara Kelantan pula menewaskan Sarawak United dengan keputusan agregat 2-1.
Berbekalkan kemenangan 1-0 di Kuching beberapa hari sebelumnya, Kijang Emas mendahului pelawat pada minit ke-13 menerusi gol Nurshamil Abdul Ghani.
Bagaimanapun, Sarawak merapatkan kedudukan agregat menerusi tandukan Raja Imran Shah pada minit ke-31.
Selepas rehat, Sarawak United terus memburu gol penyamaan agregat bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Tetapi skuad Kijang Emas kental mempertahankan keputusan agregat 2-1 sehingga tamat perlawanan.
JDT dan Kelantan bakal bersemuka untuk perlawanan suku akhir pertama pada 6 November ini.