Walaupun dibarisi pemain-pemain ternama seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, Safiq Rahim dan Jordi Amat, Johor Darul Ta’zim (JDT) sentiasa menekankan pembangunan pemain-pemain muda. Dan itu diharap dapat direalisasikan menerusi penglibatan pemain-pemain ini dalam Piala Malaysia.
Hal ini mahu direalisasikan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim untuk musim ini.
Ini kerana bila pemain-pemain ini diturunkan dalam perlawanan dua kejohanan tersebut, ia membolehkan mereka menimba pengalaman dan meraih minit perlawanan diperlukan untuk pembangunan mereka.
Selain itu, ini juga membantu pasukan memberi fokus kepada kejohanan-kejohanan lain yang lebih utama seperti Liga Super dan Liga Juara-Juara AFC (ACL).
“Piala Malaysia kita mempunyai strategi yang lain, kami akan letak lebih pemain-pemain muda untuk memberi mereka minit (permainan) dan juga pengalaman.
“Jadi, kita boleh memberi fokus dengan agenda-agenda yang lain. Jadi, untuk Piala Malaysia, saya berharap dapat masuk suku akhir ataupun separuh akhir tetapi lebih dengan barisan-barisan pemain kami yang muda-muda yang lain,” katanya dalam temubual bersama JDTTV semalam.
Peluang pertama JDT mengutip trofi musim 2023 ialah Perlawanan Sumbangsih pada Jumaat ini. Bagaimanapun, Harimau Selatan perlu mengatasi Terengganu di Stadium Sultan Ibrahim sekiranya mahu menggondol trofi berkenaan.