Persaingan Johor Darul Ta’zim (JDT) II dan Selangor FC II bakal diteruskan dalam saingan Liga A1 Semi-Pro.
Ini selepas Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Yusoff Mahadi memaklumkan kedua-dua pasukan itu menjadi sebahagian daripada 12 pasukan yang akan beraksi pada musim depan.
JDT II dan Selangor II bersaing sengit merebut gelaran juara Piala MFL sepanjang musim 2024/25. Persaingan kejuaraan ditentukan sehingga ke akhir musim.
Pada akhirnya, skuad muda Harimau Selatan muncul juara dengan 53 mata, satu mata di hadapan Merah Kuning.
Selain JDT II dan Selangor II, Imigresen FC II, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Manjung City FC, Armed Forces FC dan Kelantan WTS FC turut mengambil bahagian.
Machan FC, Kelantan Red Warrior FC, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Bunga Raya FC dan Malaysian University FT (MUFT) melengkapkan senarai pasukan yang bertanding.
Tiga pasukan diberi kelulusan bersyarat iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Guar Syed Alwi FC dan Seoul Phoenix FC. Tiga kelab diberi tempoh lanjutan 10 hari untuk melengkapkan kriteria dan dokumentasi yang diperlukan.