Advertisement
JDT Jadi ‘Gudang’ Pemain Di Piala Asia
Asia
MakanBola
JST

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi pasukan yang memiliki wakil pemain paling ramai yang bakal beraksi di pentas Piala Asia untuk edisi kali ini.

Dalam satu artikel yang diterbitkan badan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), AFC mengesahkan JDT sebagai kelab yang menjadi penyumbang terbesar pemain buat negara-negara yang beraksi di pentas Piala Asia 2023.

Seramai 15 orang pemain Harimau Selatan mewakili skuad kebangsaan masing-masing dan akan bersaing di Qatar yang bakal bermula pada 12 Januari kelak.

Daripada 15 orang pemain itu, 13 daripadanya mewakili Malaysia dan akan menjadi tunjang kepada skuad kendalian Kim Pan-gon. 13 pemain itu ialah Syihan Hazmi, Matt Davies, Corbin Ong, Shahrul Saad, Syahmi Safari, Endrick, Natxo Insa, Afiq Fazail, Syamer Kutty, Sumareh, Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan pemain muda paling bernilai Arif Aiman Hanapi.

Dua lagi pemain JDT iaitu Jordi Amat, beraksi buat Indonesia dan import baru, Jalil Elias mewakili skuad kebangsaan Syria.

Selain JDT, tiga kelab lain iaitu Al Ahed (Lubnan), Sadd FC (Qatar) dan Istiklol (Tajikistan) berkongsi kedudukan sebagai kelab kedua terbesar yang menyumbang pemain iaitu seramai 10 orang.

Kejohanan Piala Asia 2023 bakal berlangsung bermula 12 Januari hingga 10 Februari di Doha, Qatar. Skuad Harimau Malaya akan memulakan kempen berdepan Jordan pada Selasa, 16 Januari kelak.