“JDT Kelab Sukan Terbaik Di Malaysia” – Khairy Jamaluddin

Khairy Jamaluddin Bernama "JDT Kelab Sukan Terbaik Di Malaysia" - Khairy Jamaluddin
Bernama
Azim Noor @mohdazim45
1:37pm 16/02/2023

JDT terus menambahbaik struktur pengurusannya dengan membawa masuk Khairy Jamaluddin sebagai ahli lembaga pengarah mereka semalam. Melihat kesungguhan kelab itu memburu kecemerlangan dalam dan luar padang, beliau tidak teragak-agak melabel Harimau Selatan sebagai kelab terbaik di Malaysia.

Kenyataan ini dibuat semasa bertugas buat kali pertama sebagai penyampai radio Hot FM semalam.

Khairy atau mesra disapa dengan panggilan KJ melihat tawaran yang dibawa Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim itu sebagai peluang memartabatkan lagi bola sepak negeri Johor dan negara amnya.

“Jadi, saya ucapkan terima kasih Kebawah DYAM TMJ kerana menjemput saya menjadi sebahagian daripada keluarga JDT. Pasukan yang terbaik di Malaysia,” katanya.

Pengalaman dan pengetahuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu akan ditagih pengurusan JDT terutama dalam soal pembangunan akar umbi. Ini kerana Khairy juga merupakan penggerak idea Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP).

Selain dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Harimau Selatan, TMJ turut berkenan melantik Khairy sebagai Penasihat Belia Johor.