Menjelang aksi pembukaan Liga Super di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC bagi Piala Sumbangsih 10 Mei ini, JDT sebagai tuan rumah telah menunaikan lima permintaan yang dimohon Selangor.
Tiga permintaan yang ditunaikan JDT bagi kemudahan Selangor di Stadium Sultan Ibrahim adalah polis pengiring, air mineral, minuman isotonik, ais dan 30 tiket grandstand.
Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Alistair Edwards melalui satu hantaran di laman Instagram rasmi kelab.
“JDT telah menerima surat dari Selangor FC bertarikh 1 Mei 2024 yang meminta polis pengiring, air mineral, minuman isotonik, ais dan 30 tiket grandstand untuk perlawanan itu yang akan menjadi perlawanan pertama Liga Super Malaysia dan juga perlawanan Piala Sumbangsih. JDT bersetuju untuk memenuhi permintaan itu,” kongsi Alistair di laman Instagram rasmi kelab.
Dalam pada itu, JDT juga mengumumkan bahawa tidak menerima sebarang pemintaan daripada Selangor untuk peruntukan tiket penyokong lawan bagi perlawanan Piala Sumbangsih itu.
Permohonan untuk peruntukan tiket pasukan lawan adalah perkara biasa. Atas disebabkan perkara tersebut, tiada tiket yang diperuntukkan untuk penyokong Selangor.
“kami tidak menerima sebarang pemintaan untuk peruntukan tiket penyokong lawan bagi perlawanan pembukaan Liga Malaysia musim 2024-25 antara Harimau Selatan dan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei 2024. Atas sebab itu, tiket untuk penyokong lawan tidak diperuntukkan.
“Ianya menjadi kebiasaan untuk pasukan lawan memohon peruntukan tiket sebelum jualan tiket dibuka kepada umum. JDT telah mengumumkan pada hari Jumaat bahawa jualan tiket akan bermula pada 5 Mei 2024 jam 2 petang,” jelas Alistair lagi.
Perlawanan Piala Sumbangsih pada 10 Mei ini sudah pasti menjadi perhatian ramai selepas Liga Super berehat panjang.