JDT Racing Team teruja untuk menggegar arena permotoran menjelang saingan Asian Road Racing Championship (ARRC) 2024 yang bakal tiba tidak lama lagi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards, mereka berasa teruja dengan penglibatan JDT dalam arena permotoran kali ini setelah berjaya menembusi beberapa sukan lain selain bola sepak.
“Penglibatan JDT dalam sukan permotoran dua roda ini adalah bukti jenama JDT yang kukuh dan semakin meluas selepas terlibat dalam sukan bola sepak, hoki ais, ragbi, futsal dan tinju,” katanya ketika Sidang Media JDT Racing Team di Iskandar Puteri.
“Usaha terbaharu ini disasarkan untuk mengembangkan lagi jenama JDT kepada khalayak global dan membuka pintu kepada lebih banyak kerjasama dengan syarikat-syarikat antarabangsa,” ujar beliau lagi.
Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin, berkata beliau bersyukur dapat menjadi sebahagian besar keluarga JDT dan menghargai kepercayaan yang diberikan DYAM Tengku Mahkota Johor kepadanya.
“Semestinya saya gembira kerana menjadi sebahagian daripada projek ini dan saya menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor atas kepercayaan yang diberikan kepada saya.
Pelumba berusia 30 tahun itu yakin dengan kepakaran mekanik yang didatangkan oleh JDT Racing Team daripada Ducati mampu melonjakkan prestasi beliau untuk meraih kejayaan dalam saingan ARRC.
“Dengan bantuan ketua krew dan mekanik yang didatangkan dari Ducati, sudah tentu saya mahu membuktikan keupayaan dengan memberikan kejayaan meskipun ini adalah tahun pertama pasukan ini bersaing di ARRC.”
JDT Racing Team bakal membuka tirai saingan ARRC 2024 di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand pada 15 hingga 17 Mac sebelum mengakhiri sirkit enam perlumbaan di litar yang sama pada 6 hingga 8 Disember 2024.