Sebagai tanda keprihatinan kepada konflik Palestin-Israel, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) bakal menyalurkan wang kutipan tiket mereka kepada Palestin.
Perkara ini diumumkan oleh CEO Harimau Selatan, Alistair Edwards menerusi satu hantaran di Johor Southern Tigers.
Penyaluran wang tiket perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sehingga akhir musim ini dibuat atas titah DYAM TMJ, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim.
“DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah menitahkan agar kesemua kutipan tiket perlawanan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di laman sendiri sehingga penghujung musim disalurkan ke tabung kemanusiaan Palestin.
“Kelab ini amat berdukacita dengan kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa dalam peperangan yang sedang berlaku di Timur Tengah,” katanya dalam satu kenyataan.
Kutipan ini dijangka bermula untuk aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2023 antara JDT dan Perak FC yang berlangsung esok.
Bagi para penyokong yang hadir, mereka bukan saja dapat memberi sokongan kepada pasukan tercinta.
Malah, mereka juga dapat beramal di mana wang kutipan tiket yang disalurkan dapat meringankan warga Palestin yang tertindas.