Legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan menyifatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC sebagai pasukan terbaik tahun 2024.
Pemilihan kedua-dua pasukan itu dibuat beliau kerana JDT dan Selangor menjadi contoh ikutan pasukan-pasukan lain dalam Liga Super.
“Bagi saya, saya memilih JDT dengan Selangor juga. Dan mereka juga pasukan contoh ikutan (dalam Liga Super),” katanya semasa menjadi panel Nindia.
Zainal percaya seandainya lebih banyak pasukan memiliki ciri sama seperti Harimau Selatan dan The Red Giants, ini akan merancakkan lagi persaingan liga.
“Kalaulah kita dapat tujuh atau lapan pasukan lagi di tahap JDT dan Selangor, lagi meriah liga kita ini. Jadi, itu adalah platform seterusnya yang mereka perlu capai,” tambahnya.
“Jadi bagi saya, JDT dan Selangor masih lagi pasukan yang terbaik dalam liga kita.”
Pandangan penyerang legenda Harimau Malaya itu turut disokong seorang lagi bekas penyerang kebangsaan, Nizaruddin Yusof.
Beliau merasakan JDT dan Selangor kekal menjadi pasukan terbaik tahun 2024 kerana kedua-dua pasukan itu cukup konsisten dalam liga.
“Kalau kita tengok balik perjalanan liga termasuk JDT dan Selangor main dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL), saya rasa mereka cukup konsisten dalam liga,” katanya.
Harimau Selatan dan The Red Giants masing-masing menghuni kedudukan pertama dan kedua Liga Super dengan 46 dan 35 mata selepas mengharungi 16 perlawanan.
JDT bakal berdepan Sabah FC pada 11 Januari 2025. Selangor pula bakal berdepan KL City FC pada 12 Januari 2025.