Advertisements
JDT Sumbang Hampir 70% Mata AFC MA Ranking Malaysia
Liga Super
MakanBola
Johor Southern Tigers

Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat Asia menyumbang kepada peningkatan peluang kelab Malaysia beraksi di peringkat berkenaan.

Hal ini dinyatakan sendiri DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bila mengulas pencapaian Harimau Selatan di pentas Asia.

Sejak beraksi di peringkat Asia dalam saingan Piala AFC pada 2015, JDT sudah menyumbang 21.54 mata atau 68.7% daripada kutipan mata ranking pertandingan kelab Asia. Ketika ini, Malaysia mengutip 31.33 mata dan berada di tangga keenam di belakang Australia.

Kedudukan ini menyaksikan Malaysia memiliki satu slot kelayakan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) untuk juara Liga Super. Manakala naib juara liga mendapat satu slot kelayakan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Selain itu, Harimau Selatan turut mencipta sejarah sebagai kelab Malaysia pertama meraih gelaran juara Piala AFC edisi 2015.

“Prestasi JDT di Asia telah menyumbang 21.54 (68.7%) daripada 31.33 mata ranking MA Malaysia sejak 2015 hingga membenarkan lebih banyak kelab-kelab Malaysia menyertai pertandingan Asia. JDT juga muncul satu-satunya kelab Asia Tenggara yang memenangi Piala AFC (2015).

“JDT juga antara kelab yang mempunyai fasiliti terbaik – termasuk perubatan – di Asia yang menepati kehendak bola sepak moden.

“Ini antara pencapaian hebat yang pernah dicapai oleh mana-mana pasukan dalam Malaysia atau dalam industri bola sepak tempatan,” kata baginda dalam satu kenyataan.

Kejayaan JDT membuka jalan kepada kelab-kelab Malaysia lain beraksi di Asia seperti Selangor FC, Sabah FC, Terengganu FC, KL City FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

KL City menjadi pasukan yang paling hampir mengulangi kejayaan JDT dalam saingan Piala AFC apabila muncul naib juara untuk edisi 2022.

JDT kini mengalihkan fokus untuk dua aksi seterusnya. Harimau Selatan bakal menentang KL Rovers FC untuk aksi pertama pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia 2024/25 pada 20 November.

Ini disusuli aksi terbaru ACLE menentang wakil China, Shandong Taishan di Pusat Sukan Olimpik Jinan pada 26 November ini.