Selepas Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor mengumumkan pembentukan JDT Racing Team pada akhir tahun lalu, ramai teruja melihat pasukan itu bersaing dalam saingan permotoran antarabangsa.
Hari ini, pasukan itu mendedahkan sedikit jentera yang bakal ditunggang pelumba motosikal negara, Hafizh Syahrin Abdullah.
“Ada sesuatu yang sedang diusahakan… Nantikan!” kata JDT Racing Team dalam satu hantaran di X hari ini.
Berdasarkan beberapa imej yang dikongsikan pasukan itu, jentera Ducati Panigale V4R menjadi pilihan JDT Racing Team dalam mendepani saingan Asia Road Racing Championship (ARRC).
Kini, yang tinggal ialah imej luaran jentera berkenaan. Jentera Ducati JDT Racing Team dijangka menggunakan motif tiga warna iaitu merah, biru dan putih yang melambangkan warna bendera negeri Johor.
Selain itu, jentera berkenaan juga bakal mengetengahkan motif tiga bintang yang melambangkan pasukan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
JDT Racing Team menjadikan saingan ARRC ini sebagai batu loncatan untuk menyertai kejohanan motosikal berprestij, Superbike World Championship (SBK) pada masa depan.
Jentera Ducati JDT Racing Team dijangka dilihat buat kali pertama di Litar Antarabangsa Chang, Thailand untuk aksi pusingan pertama ARRC musim 2024. Pusingan pertama bakal berlangsung dari 15 hingga 17 Mac ini.