Skuad kebangsaan Jepun membuktikan status mereka sebagai pasukan terbaik Asia ketika ini dengan membelasah Thailand 5-0 hari ini.
Perlawanan hari ini merupakan perlawanan pemanas badan bagi kedua-dua pasukan sebelum mengharungi kempen Piala Asia 2023.
Jepun turun dengan misi mengekalkan rekod 100% kemenangan buat kali kesembilan berturut-turut. Sementara Thailand pula ingin mengulangi kejayaan mengalahkan Jepun pada 1997.
Skuad Gajah Perang ketika itu meraih kemenangan 3-1 dengan dua gol disumbang legenda Thailand, Kiatisuk Senamuang. Manakala gol saguhati Samurai Biru disumbang oleh legenda mereka, Kazuyoshi Miura.
Babak pertama menyaksikan dominasi tuan rumah sebaik wisel permulaan ditiup. Barisan serangan Jepun diketuai Mao Hosoya mengatur beberapa serangan ke arah kubu Thailand.
Bagaimanapun, beberapa gerakan tuan rumah berjaya dipatahkan barisan pertahanan Gajah Perang diketuai bintang baru BG Pathum United, Kritsada Kaman.
Percubaan terbaik Jepun hadir pada minit ke-42 menerusi Kanji Okunuki tetapi percubaan itu berjaya ditepis penjaga gol Thailand, Patiwat Khammai.
Jepun berusaha menembusi gawang pelawat tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Thailand dan Jepun masing-masing membuat pertukaran pemain. Thailand memasukkan Theerathon Bunmathan, Supachok Sarachat, Sarach Yooyen dan Phitiwat Sukjitthammakul.
Manakala Jepun pula memasukkan pemain berpengalaman Ritsu Doan dan Keito Nakamura bagi menambah ketajaman di bahagian serangan.
Percaturan jurulatih Samurai Biru, Hajime Moriyasu membuahkan hasil apabila Ao Tanaka meletakkan Jepun di hadapan pada minit ke-49.
Tersentak, Thailand cuba menggugat gawang Jepun menerusi Supachok pada minit ke-51 tetapi percubaannya langsung tidak menepati sasaran.
Samurai Biru menggandakan kelebihan mereka menerusi Nakamura pada minit ke-72. Gol terhasil apabila beliau mudah menolak bola muntah yang terhasil daripada rembatan Takumi Minamino.
Bek tengah Bali United, Elias Dolah bernasib malang apabila cubaannya mengeluarkan bola sepakan sudut Doan termasuk ke gawang Thailand seminit selepas itu.
Jepun semakin selesa di hadapan menerusi Takumu Kawamura pada minit ke-82. Rembatan awal pemain tengah Sanfreece Hiroshima itu berjaya ditepis Patiwat tetapi beliau tidak dapat menyekat tandukan susulan Kawamura.
Minamino melengkapkan kecemerlangan Jepun dengan gol kelima pada minit ke-90. Ini kemenangan kesembilan Jepun dalam sembilan perlawanan antarabangsa.