Malaysia berpeluang untuk beradu kekuatan berdepan lawan berstatus elit apabila berkemungkinan akan menghadapi Jepun dan China dalam aksi persahabatan September nanti.
Perkara ini telah pun disahkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memaklumkan bahawa mereka sudah pun mengatur perancangan bagi tahun ini.
Bermula Mac ini, anak didik Kim Pan-gon akan menghadapi dua aksi persahabatan Tier 1 akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Namun begitu, lawan buat skuad Harimau Malaya masih tidak dapat dipastikan dan berkemungkinan membabitkan negara jemputan iaitu Turkemistan dan Taiwan atau Kuwait.
Perlawanan tumpuan buat aksi Malaysia adalah pada bulan September apabila skuad kebangsaan dijangka akan berlepas ke luar negara untuk menguji dua pasukan.
Antara nama-nama yang berada dalam radar FAM dan Pan-gon adalah seperti Jepun, China, Uzbekistan, serta Hong Kong berkemungkinan bakal menjadi lawan Harimau Malaya.
Usaha ini dilihat menjadi medan terbaik buat pasukan kebangsaan bagi mempersiapkan pasukan dan membentuk gandingan terbaik sebelum ke Qatar awal tahun hadapan.