Jepun Umum Skuad Piala Asia, 20 Pemain Eropah Jadi Taruhan
Asia
FA Japan
Advertisements

Jepun menjadi negara terbaru yang mengumumkan senarai 26 pemain yang akan menggalas cabaran mereka di Piala Asia 2023.

Pengumuman itu dibuat tidak lama selepas Samurai Biru berpesta gol 5-0 ke atas Thailand di Stadium Nasional Jepun hari ini.

Daripada 26 pemain yang dipilih oleh jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu, 20 daripadanya berpangkalan di benua Eropah. Hanya Shogo Taniguchi (Al-Rayyan) yang beraksi di Asia selain Jepun.

Advertisements

Antara bintang Jepun yang berpangkalan di Eropah yang dipanggil Moriyasu ialah Takehiro Tomiyasu (Arsenal), Wataru Endo (Liverpool), Takumi Minamino (AS Monaco), Kaoru Mitoma (Brighton & Hove Albion), Takefusa Kubo (Real Sociedad) dan Ritsu Doan (Freiburg).

Nama Mitoma disenaraikan selepas pasukan perubatan Jepun dan The Seagulls memberi jaminan pemulihan beliau berjalan lancar. Pemain sayap berusia 26 tahun itu dijangka dapat diturunkan semasa kempen Kumpulan D.

Advertisements

Skuad kali ini buat kali pertama tidak menampilkan bek kiri veteran, Yuto Nagatomo sejak Piala Asia edisi 2007.

Lima pemain J1 League yang dipanggil Moriyasu iaitu Daiya Maekawa (Vissel Kobe), Taishi Brandon Nozawa (FC Tokyo), Seiya Makuma (Cerezo Osaka), Mao Hosoya (Kashiwa Reysol) dan Kaishu Sano (Kashima Antlers).

Advertisements

Hanya tiga pemain yang memiliki melebihi 50 penampilan antarabangsa iaitu Endo (55 penampilan), Minamino (52 penampilan) dan Junya Ito (51 penampilan).

Dengan status sebagai pasukan terbaik Asia ketika ini, ini merupakan barisan terkuat Jepun yang diharap mampu merampas trofi Piala Asia daripada juara bertahan, Qatar.

Advertisements

Skuad Samurai Biru bakal mengharungi satu lagi ujian pemanas badan dengan menentang Jordan pada 9 Januari ini.

Jepun kemudiannya akan memulakan kempen Kumpulan D dengan menentang Vietnam pada 14 Januari di Stadium Al-Thumama, Doha.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram