Atlet Muay Thai Malaysia, Johan Ghazali menerima sentuhan istimewa daripada adik lelaki beliau, Mikail Ghazali atau lebih mesra disapa sebagai Miki.
Baru-baru ini, Miki memenangi pertarungan di Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Wilayah Pahlawan 2025 apabila menumbangkan Said El Matador dari Maghribi di Stadium Titiwangsa.
Kemenangan ke atas lawan yang 10 tahun lebih tua dari Miki itu menyaksikan beliau berjaya membawa balik tali pinggang Wilayah Pahlawan hasil tajaan istimewa daripada Tourism Malaysia.
Hasil kejayaan cemerlang Miki ini membuatkan Johan atau Jojo ingin menuntut ilmu dan mempelajari gaya permainan adik lelakinya itu dalam satu sesi latihan istimewa di salah sebuah gimnasium.
”Assalamualaikum semua, oleh kerana Miki baru sahaja menang tali pinggang tempoh hari, Jojo nak belajar dengan Miki,” kata Johan Ghazali di awal video Tiktok itu.
”Jojo mahu belajar gaya permainan Miki, cara dia elak serta sepak. Jadi, nak ajak sparring tidak boleh sebab kepala dia baru lepas koyak.”
Kata Jojo, ketika sesi tersebut, Miki akan bergelar jurulatih dan bersedia bagi mempelajari teknik serta cara pemainan meskipun sesetengah orang tak meggemari gaya adik beliau.
”Jadi hari ini, Miki akan jadi jurulatih Jojo, kita akan tengok dan belajar gaya permainan Miki. Mungkin ada orang tak suka cara Miki tapi hari ini kita akan belajar,” ujar Jojo.
Video yang berdurasi 4 minit 21 saat itu menyaksikan Miki dan Jojo bersama-sama menjalani latihan menumbuk dan menendang secara ringan yang diselangi gelak tawa santai.
Malah, di ruangan komen ramai warga maya yang terhibur menyaksikan telatah dua beradik ini berlatih terutamanya ketika Miki menjatuhkan Jojo yang tidak bersedia di akhir video.