Advertisements
Johan Ghazali: Ini Luar Biasa, Saya Baru 18 Tahun
UltraSukan
UltraSukan
Johan Ghazali

Jaguh Muay Thai Malaysia, Johan Ghazali kini mencecah usia 18 tahun.

Perkara ini dikongsikan sendiri beliau menerusi satu hantaran di Instagram. Bagi pemenang pingat emas SUKMA 2022 itu, pencapaian yang dilakar pada usia 17 tahun merupakan sesuatu yang menakjubkan.

“Alhamdullilah, satu lagi tahun yang mengagumkan sudah berlalu. Terima kasih semua atas semua ucapan hari lahir. Nantikan untuk temu bual pascaperlawanan seterusnya. Ini luar biasa, saya baru 18 tahun,” katanya baru-baru ini.

Nama Johan mula menjadi sebutan peminat Muay Thai apabila menewaskan Padetsuk Fairtex dalam tempoh 16 saat untuk saingan ONE Championship.

Ini disusuli kejayaan menewaskan jaguh Muay Thai Russia, Temiran Bekmurzaev pada Oktober 2023 di Bangkok, Thailand. Kejayaan Johan dalam ONE Friday Fight 36 itu menyaksikan beliau menerima kontrak sebanyak AS$100,000 (RM448,000).

Nama Johan makin dikenali apabila beliau menewaskan juara Muay Thai antarabangsa Majlis Tinju Sedunia (WBC), Edgar Tabares pada Disember 2023. Meskipun Tabares dilihat lebih berpengalaman, itu tidak menghalang anak jati Sarawak itu menewaskan beliau dalam tempoh 36 saat.

Selepas tewas kepada Nguyen Tran Duy, Johan kembali bangkit dengan menewaskan Josue Cruz pada September lalu. Kejayaan ini menyaksikan beliau mendapat bonus AS$50,000 (RM224,000).

Pencapaian cemerlang Johan dalam dunia Muay Thai turut menarik perhatian legenda MMA dunia dari Russia, Khabib Nurmagomedov.

Malah, Khabib turut mempelawa Johan berlatih di gimnasiumnya di Dagestan sekiranya jaguh Muay Thai itu ingin beralih kepada MMA.