Jaguh Muay Thai Malaysia, Johan Ghazali memaklumkan beliau bersedia menentang sesiapa saja termasuk rakannya dari Lubnan, Ramadan Ondash.
Bangkok Post melaporkan jaguh muda berusia 19 tahun itu mahu mencabar jaguh yang mesra disapa Jojo itu sebagai lawan seterusnya dalam saingan ONE Championship.
“Johan Ghazali, saya sayang beliau, beliau rakan saya tapi dalam gelanggang tiada kawan. Semua orang nakkan saya lawan Jojo.
“Semua orang di Malaysia dan Thailand kerana kami masih muda dan jaguh hebat. Saya hormati beliau, beliau seperti saudara saya.
“Saya amat menghormati beliau. Tapi ayuh lakukannya, ayuh Jojo,” katanya selepas perlawanan ONE Championship menentang Suriyanlek Por Yenying di Stadium Lumpinee.
Selepas video komen Ondash disiarkan, Johan kemudiannya membalas, “Saya sentiasa bersedia. Sesiapa saja, di mana saja.”
Ondash kembali bangkit selepas tewas kepada seorang lagi jaguh negara, Aliff Rakib dalam pertarungan ONE Championship sebelumnya.
Johan juga menanti peluang untuk bangkit selepas tewas dalam perlawanan sebelumnya. Beliau tewas di tangan jaguh Jepun, Shimon Yoshinari dalam perlawanan ONE Samurai pada April lalu.
Abang Ondash, Abdallah Ondash turut meraih kemenangan dalam saingan ONE Championship dengan menewaskan Denkriangkrai Mavinn Muaythai. Beliau turut menerima bonus persembahan sebanyak 350,000 baht (RM43,000).
Abdallah kini mahu berdepan Aliff sebagai lawan beliau untuk pertarungan seterusnya. Ini membolehkan beliau menebus kekalahan Ondash dengan menentang jaguh Muay Thai Malaysia yang sedang meningkat naik itu.