Kapten Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Jordi Amat berharap rentak cemerlang yang dipamerkan bila menentang Perak FC dalam aksi pertama separuh akhir Piala Malaysia dapati dikekalkan.
Aksi pertama separuh akhir di Stadium Perak menyaksikan JDT meraih kelebihan agregat 4-1.
Empat gol Harimau Selatan disumbang oleh Oscar Arribas, Arif Aiman Hanapi, Shahrul Saad dan Nazmi Faiz Mansor. Manakala gol tunggal tuan rumah disumbang oleh kapten Luciano Guaycochea.
Biarpun mereka beraksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) untuk aksi kedua separuh akhir, Amat tidak mahu mengambil mudah cabaran The Bos Gaurus.
Malah, beliau mahu rakan-rakan sepasukannya terus tampil mantap bagi memastikan mereka dapat layak ke final.
“Kita dapat keputusan yang baik di gelanggang lawan. Jadi, kita berharap kita akan cepat pulih. Kita berharap pemain yang cedera dapat pulih sebelum perlawanan seterusnya.
“Kita berharap kita dapat bermain dengan bagus dan mara ke final. Ini langkah pertama kita dan selepas itu, kita akan fikir pasal ACL,” katanya selepas ditemubual Nadi Arena di Astro Arena.
Harimau Selatan berharap dapat mempertahankan kelebihan agregat mereka bila melayan kunjungan The Bos Gaurus di SSI esok.