Tumpuan peminat bola sepak tanah air kini terarah kepada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 malam esok yang menemukan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC.
Bagi kapten pasukan JDT, Jordi Amat, beliau menganggap Terengganu adalah sebuah pasukan yang bakal menyukarkan mereka. Dalam masa yang sama, beliau turut meluahkan rasa kecewa selepas melihat keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang dilihat kurang memuaskan.
“Saya fikir ini sudah pasti satu perlawanan yang sukar. Saya masih ingat kita bermain di tempat lawan menentang Terengganu. Separuh masa pertama memang sukar, memang benar kita bermain dengan bagus dalam separuh masa kedua.
“Tapi macam jurulatih (Tano Solari) katakan, kita akan bermain seperti biasa, jaga (penguasaan) bola, bermain permainan yang bagus dan kita perlu fokus. Perlawanan esok merupakan perlawanan besar dan kita tidak sabar menentang mereka di final di Stadium (Nasional Bukit Jalil).
“Saya harap padang akan jadi lebih bagus sebab sejujurnya, saya tak gembira. Tapi ya, kita lihat macam mana,” jelas Jordi Amat dalam sidang media pra perlawanan.
Jordi juga mengagumi corak permainan yang ditampilkan pasukan Terengganu. Beliau berharap gaya permainan JDT dan mentaliti kemenangan akan membawa JDT menjulang kejuaraan.
“Tiada pasukan pilihan dalam aksi final. Apa saja yang berlaku, kedua-dua pasukan sememangnya layak berada di final. Saya berlaku jujur kepada anda semua, saya suka cara Terengganu bermain. Mereka bermain dengan bagus dan ya, saya harap kita dapat bermain lebih bagus daripada mereka.
“Pada akhirnya, kita sudah banyak mengembara dan bermain dalam perlawanan penting. Seperti jurulatih katakan, kita sudah mendapat rehat yang cukup. Ya, (kita) tidak sabar untuk beraksi dalam perlawanan esok.
“(Saya) katakan kepada para pemain sebelum perlawanan menentang Sri Pahang, kita menang kerana dua perkara (iaitu) gaya permainan kita yang amat penting bagi JDT dan mentaliti kemenangan kita. Jadi, esok kita perlukan dua perkara ini lagi dan berharap kita dapat perlawanan yang bagus,” katanya lagi.
Perlawanan akhir esok akan dilangsungkan pada jam 9 malam dan bakal disiarkan secara langsung di saluran Astro Arena 801, Astro Arena 803, Astro Supersport 806, AstroGO, TV Okey dan Sukan RTM.