Pemain tengah Sepanyol, Juan Muniz kempunan berdepan pasukan lamanya, Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim ini.
Hal ini berlaku kerana pasukan beliau, Adelaide United terkandas di pusingan kelayakan ACLE. Pasukan Australia itu tumbang 2-0 di tangan kelab Vietnam, Cong An Ha Noi FC (CAHN FC).
David Henen dan Brayan Perea memastikan pasukan yang dibimbing Mano Polking itu ceria melangkah ke fasa Liga Timur ACLE.
Kekalahan ini bukan saja menafikan peluang Adelaide mengiringi juara A-League musim lalu, Newcastle Jets di fasa berkenaan. Malah, ini turut menafikan hajat Muniz beraksi menentang JDT dalam saingan ACLE.
Bekas pemain Sporting Gijon itu bukan satu-satunya pemain Harimau Selatan yang mewakili Adelaide United. Selain Muniz, pemain tengah Brazil, Anselmo turut mewakili pasukan Australia itu.
Tiga lagi bekas pemain JDT yang kini mewakili Ratchaburi berpeluang menentang Harimau Selatan di pentas ACLE. Trio tersebut ialah pemain kebangsaan, Daniel Ting, Jonathan Viera dan Roque Mesa.
Meskipun Adelaide gagal layak ke ACLE, pasukan itu tetap beraksi di Asia menerusi saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2). Undian perlawanan ACLE dan kumpulan ACL2 bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada 18 Ogos ini.