Advertisement
Juara 4 Kali Asia Turun Dengan Misi Besar Di Qatar
Asia
MakanBola
FA Japan

Pasukan nombor satu Asia, Jepun tampil dengan misi besar dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar yang bermula pada 12 Januari ini.

Ini kerana Samurai Biru ingin bangkit menebus kehampaan selepas hanya bergelar naib juara dalam Piala Asia 2019.

Selain itu, Jepun juga memegang status sebagai pasukan pilihan mengikut kedudukan terkini ranking FIFA. Samurai Biru kini menduduki ranking ke-17 dunia – satu kedudukan yang sukar dicabar ditambah dengan prestasi mereka sejak 2023.

Selepas tewas kepada Colombia pada 28 Mac 2023, Jepun mengekalkan rekod kemenangan 100% dalam sembilan perlawanan antarabangsa. Ini termasuk kejayaan mengalahkan Jerman 4-1 pada 10 September lalu.

Ini menunjukkan Jepun telah menunjukkan peningkatan bila berdepan 20 pasukan terbaik dunia. Ini dibuktikan apabila Samurai Biru berjaya layak ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia untuk edisi 2018 dan 2022.

Di peringkat Asia, Jepun membuktikan mereka pasukan handalan dengan menjuarai Piala Asia sebanyak empat kali termasuk kali terakhir pada 2011. Bagaimanapun, edisi 2015 menyaksikan Samurai Biru terkandas di peringkat suku akhir.

Sementara edisi 2019 pula menyaksikan Jepun kecundang di tangan tuan rumah, Qatar 3-1 di pentas final.

Melihat kepada kegagalan edisi 2019, tidak hairanlah jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu membuat perubahan dengan hanya mengekalkan lima pemain daripada skuad berkenaan.

Lima pemain tersebut ialah Takumi Minamino (AS Monaco), Ritsu Doan (Freiburg), Takehiro Tomiyasu (Arsenal), Junya Ito (Reims) dan Wataru Endo (Liverpool).

Sementara tonggak veteran seperti Maya Yoshida, Yuto Nagatomo dan Hiroki Sakai tidak dipanggil untuk edisi 2023.

Moriyasu sebaliknya memberi kepercayaan kepada generasi baru pemain Samurai Biru seperti Kaoru Mitoma (Brighton), Takefusa Kubo (Real Sociedad) dan Ko Itakura (Borussia Moenchengladbach).

Ini menunjukkan barisan Jepun kali ini jauh lebih mantap dan bersedia merampas gelaran juara daripada Qatar untuk edisi 2023.

Pasukan nombor satu Asia itu bakal membuka tirai kempen Kumpulan D dengan menentang Vietnam di Stadium Al Thumama pada 14 Januari ini.